Kehadiran Bulan Rabiulawal Tahun Gajah mengingatkan kita akan kelahiran Nabi besar junjungan kita Muhammad s.a.w.. Justeru kita memperingati Maulud Nbi s.a.w. untuk mengungkapkan rasa kasih yang tidak berbelah bahagi kepada Rasulullah s.a.w. yang tercinta.
Perayaan atau peringatan Maulud yang disambut pada bulan Rabiulawal adalah sebagai pernyataan daripada cinta Muslim kepada Nabinya.Sejarah mencatat bahawa asal mulanya perayaan ini diadakan pada abad keempat Hijrah setelah tentera salib menyeru Palestin yang ketika itu terletak dalam kekuasaan umat Islam.Kemenangan ini disambut dengan perayaan Hari Natal secara besar-besaran.Lantas bagi mengembalikan kembali semangat umat Islam yang kian luntur itu,maka diadakan perayaan Maulid Nabi.Setelah 200 tahun lamanya dijajah,akhirnya tentera salib berjaya diusir dari Palestin di bawah pimpinan Salahuddin Al-Ayyubi.
Anak-anakku ketahuilah olehmu...........
Nabi Muhammad s.a.w adalah seorang di antara manusia yang teragung yang dikenal oleh sejarah peradaban manusia.Dari perspektif agama Islam,Nabi Muhammad s.a.w. adalah Rasul utusan Allah s.w.t. yang menjadi 'pemberi peringatan',mula-mula bagi bangsa Arab,dan kemudian bagi seluruh umat manusia.
Umat Islam dituntut bukan hanya untuk menghayati ajaran baginda,tetapi juga memantapkan cinta dan penghargaan di atas jasa-jasa serta pengorbanan baginda menegakkan syiar Islam.Justeru kerana jasa dan pengorbanan Rasul,serta atas dasar pemberian hak penghormatan itulah,sehingga Allah s.w.t. dan para malaikat mencurahkan rahmat dan memohon maghfirah untuk baginda serta menganjurkan umat Islam untuk menyampaikan selawat dan salam sejahtera kepada Nabi Muhammad s.a.w. serta keluarga baginda.
Mengingati Rabiulawal,bulan kelahiran Nabi Muhaamad s.a.w. pada tahun ini, seharusnya benar-benar menjadi titik tolak kesedaran umat Islam di negara ini bagi memperkukuhkan perpaduan serta meningkatkan iman,takwa dan amal salih.Kita imbas dan gali kembali perjuangan Rasulullah s.a.w. dengan niat mencontohi dan mempraktikkannya dalam kehidupan sehari-hari.Terlalu banyak untuk diperkatakan tentang keagungan dan keprihatinan Nabi Muhammad s.a.w. yang menjadi teladan bagi semua peringkat manusia.Baginda adalah sebaik-baik makhluk Tuhan seluruh alam.
Anak-anakku sedarlah................
Perayaan yang kita sambut adalah sebagai bukti cinta,iaitu kenikmatan menyebut nama orang yang kita cintai.Nama insan agung yang dikasihi oleh makhluk di langit mahupun di bumi.Tahukah kamu wahai anakku.................... Dalam satu peristiwa setelah Nabi s.a.w. wafat,Bilal tidak mahu lagi mengumandangkan azan.Bagaimanapun,setelah didesak oleh orang ramai termasuk Sayidatina Fatimah r.a (semoga Allah merahmatinya),akhirnya Bilal kembali melaksanakan tugasnya.Ketika azan dikumandangkan dan sampai kepada kata "asyhadu anna Muhammad..." suara Bilal terhenti.Kemudian suaranya tersekat-sekat dan beliau menangis semahu-mahunya.Nama "Muhammad" kekasih yang baru saja kembali kepada Rabbul Izzati,menggetarkan jantung Bilal.
Bagi Bilal,beliau berhenti mengumandangkan azan kerana nama itu mengingatkan beliau kepada kehilangan besar kepada seluruh umat Islam.Alangkah agungnya cinta Bilal kepada kekasih Allah.Hatta menyebutnya pun hati sudah merintih sayu dan mengundang rindu....aah........jauhnya kita jika dibandingkan dengan Bilal,hamba yang berkulit hitam tapi punya hati yang putih bersinar bak mentari pagi...
Anak-anakku pewaris Nabi.........
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud "Orang yang paling dekat dengan aku pada hari kiamat adalah orang yang paling banyak membaca selawat ke atasku."Dalam pada kita merayakan Maulidur Rasul bagi tujuan membangkitkan kecintaan kepada Rasulullah s.a.w. , jangan pula kita melakukan perkara-perkara mungkar yang akan merosakkan suasana perayaan tersebut.
Umat Islam dituntut bukan sekadar untuk menghayati ajaran Rasulullah s.a.w. tetapi memantapkan rasa cinta dan penghargaan atas jasa-jasa serta pengorbanan yang tidak ternilai. Sesungguhnya Allah s.w.t. dan para malaikat mencurahkan rahmat dan memohonkan maghfirah untuk Nabi s.a.w. serta menganjurkan umat Islam untuk menyampaikan selawat dan salam sejahtera kepada baginda dan keluarga baginda.
Keluhuran budi Nabi s.a.w. bukan hanya dinyatakan oleh Allah dan diyakini umat Islam,berdasarkan firman Allah yang bermaksud:
“Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat-sangat mulia,”malahan diakui oleh kawan dan lawan.
Malah ketika diminta untuk mengutuk,Nabi s.a.w. membalas,yang bermaksu::”Aku bukan diutus sebagai pengutuk,tetapi aku diutus untuk mengajak kepada kebaikan dan penyebar rahmat.”
Sifat kasih sayang Nabi s.a.w. terhadap sesama makhluk tidak akan ditemui pada seorang manusia pun yang lebih tinggo rasa kasih sayangnya,lemah-lembutnya serta perbuatan atau amal baiknya kepada makhluk Tuhan.
Abu Hurairah r.a berkata:”Kedua-dua telingaku ini pernah mendengar dan kedua-dua mataku ini pernah melihat Rasulullah s.a.w. mengambil Hassan atau Husain dengan kedua-dua tangannya,lalu kaki Hassan atau Husain berada di atas kaki Rasulullah s.a.w..Rasulullah s.a.w. pun bersabda yang bermaksud “Naiklah wahai yang pendek,dan bermata kecil (sebagai gurauan dan tanda sayang).”Kemudian anak kecil itu naik hinggan ia meletakkan kedua kakinua di atas dada Rasulullah s.a.w..Rasulullah s.a.w. pun bersabda (mafhumnya):”Bukalah mulutmu.”Lalu Rasulullah s.a.w. menciumnya:Ya Allah,cintailah dia,kerana sesungguhnya aku mencintainya.”
Allah menegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad):Wahai sekalian manusia !Sesungguhnya aku adalah pesuruh Allah kepada kami semua.Tuhan yang mempunyai kerajaan langit dan bumi.Tidak ada Tuhan selain daripada-Nya,Yang menghidupkam dan Yang mematikan.Sebab itu,hendaklah kamu beriman kepada Allah dan UtusanNya,Nabi yang ummi percaya kepada Allah dan perkataan-perkataaNya.Ikutlah dia supaya kamu mendapat petunjuk.”(Al-A’raaf:158)
Ketahuilah wahai anak didikku………………..
Keagungan Nabi s.a.w. menjadikan baginda sebagai teladan yang terbaik sekaligus sebagai pembawa berita gembira dan pemberi peringatan.Baginda menziarahi orang-orang sakit,bersama-sama mengiringi jenazah dan memenuhi undangan walaupun daripada seorang kanak-kanak.
Kesopanan dan kesantunan baginda terhadap orang kebanyakan dan sikap yang terpuji yang baginda tunjukkan terhadap orang-orang yang sombong menyebabkan baginda dihormati dan disanjungi tinggi.
Dalam kesibukan baginda memimpin,baginda sentiasa menerima sesiapapun yang datang dengan tangan terbuka dan berlapnag dada walaupun seorang Badwi yang kasar sifatnya.
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
“Demi sesungguhnya,adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik,iaitu orang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik hari akhirat.”(Al-Ahzab:21)
Hayatilah kisah ini……………..
Suatu ketika,seorang lelaki datang kepada Rasulullah s.a.w. yang sedang duduk di dalam masjid.Beliau berkata:”Salam sejahtera kepada kamu wahai ahli kemuliaan yang tinggi dan pemurah yang disanjungi.Lalu Rasulullah s.a.w. member tempat duduk di antara Baginda dan Abu Bakar r.a.Orang ramai yang hadir merasa hairan dengan tindakan Rasulullah s.a.w. mendahulukan lelaki tersebut.Kemudian Rasulullah memaklumkan:”Jibril telah memberitahu kepadaku bahawa beliau telah berselawat keppadaku dengan lafaz selawat yang belum pernah diungkapkan oleh sesiapapun sebelum beliau.”Lalu Abu Bakar bertanya:”Bagaimanakah lafaz selawat beliau?”Rasulullah pun menyebut lafaz selawat lelaki berkenaan:
ALLAHUMMA SHOLLI ‘ALA MUHAMMAD WA’ALA ALI MUHAMMAD FII ALAWWALIN WAL AKHIRIN WA FII ALMALAAI A’LA ILAA YAUMI DDIN
“Ya Allah,berikanlah restu kepada Muhammad dank keluarga Baginda di kalangan golongan terawal dan golongan terkemudian serta golongan tertinggi sehingga hari Kiamat.(riwayat Al-Sya’rani di dalam Kasyf Al-Ghummah;Al-Sakhawi di dalam Al-Qaul Al-Badi)
Bersama ini ummi titipkan beberapa kelebihan berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w……………
· Diriwayatkan daripada ‘Abdul bin Mas’ud r.a.:sabda Rasulullah s.a.w.:”orang yang lebih utama(dekat)denganku pada hari Kiamat ialah orang yang banyak berselawat kepadaku.”(dikemukakan oleh At-Tirmizi dengan menilainya Hasan dan Ibn ‘Asim).
· Daripada Anas b Malik r.a.:sabda Rasulullah s.a.w. : “sesiapa yang berselawat kepadaku sekali , Allah berselawat (memberi rahmat) kepadanya 10 kali dan menghapuskan 10 kesalahannya.”(riwayat Imam Ahmad).
· Sabda Rasulullah s.a.w. : “sesiapa yang sukar menunaikan hajatnya hendaklah ia memperbanyakkan selawat ke atasku.Sebab ia melapangkan kebimbangan , kedukacitaan , kesusahan , memperbanyakkan rezeki serta menunaikan hajat.”(menurut Al-Sayuti hadis ini adalah sahih ).
· Sabda Rasulullah s.a.w. : “sesiapa yang ditimpa sesuatu kesusahan hendaklah ia memperbanyakkan selawat ke eatasku sebab ia menguraikan simpulan dan melapangkan kesukaran.”
Sama-samalah kita dambakan cinta Allah dengan kita mencintai insan yang dicintaiNya…………….Ya Allah Kau lembutkanlah hatiku dan anak-anakku untuk mencintai dan menyanjungi kekasihMu agar kami tergolong di kalangan hambaMu yang Kau kurniakan syafaat dan perlindungan di hari tiada perlindungan selain perlindungan Mu Ya Allah…………………………..Aamin Ya Rabbal Alamin……………..
Yang menyayangimu…
Ummu Usamah…
22 Rabiul Awal 1431 H
Teratak Guru.
Gombak….
No comments:
Post a Comment