Sunday, April 25, 2010
Shautul Haq(Edisi Kedua)-Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W
Kelahiran Rasulullah S.A.W satu rahmat untuk seluruh umat Islam khususnya dan dunia umumnya. Dunia yang ketika itu diselaputi dengan kebejatan akhlak dan keruntuhan peradaban. Dunia yang tika dan saat itu amat mementingkan keduniaan seolah-olah tiada lagi kehidupan lain sesudahnya. Ingatlah duhai teman, Rasulullah S.A.W muncul di celah-celah gelanggang kehancuran bangsa ketika itu. Di awal usia remajanya, Baginda menjadi contoh terbaik di kalangan pemuda-pemuda Arab Jaahiliah kerana keunggulan peribadinya sehingga digelar “Al-Amin”. Di usia dewasanya, selepas diangkat menjadi rasul terakhir, dikagumi kerana ketabahannya berdakwah menyeru kaum kerabat dan sahabat handainya serta penduduk Makkah untuk kembali kepada fitrah menyembah Allah Yang Esa walaupun mendapat tentangan yang hebat. Di akhir usianya digeruni ramai termasuklah musuhnya kerana kehebatannya menjadi seorang pemimpin daulah yang berdaulat. Risalah Islam yang dibawa Baginda walaupun diawalnya dianggap pembwa bencana, namun akhirnya diterima pakai oleh bangsa Arab khususnya dan bangsa Ajam yang lain dengan sepenuh jiwa dan raga. Kini, Rasulullah S.A.W sudah jauh meninggalkan kita, umatnya yang amat dikasihi, umatnya yang akan diberikan syafaat olehnya di Padang Mahsyar, hari yang tiada perlindungan dari Allah Rabbul Jalil. Iktibar sempena Maulidur Rasul bukanlah setakat memahami dan menghafal sejarah hidupnya, tetapi Risalah Islam suci yang dibawanya. Kalau bukan kerana keringat dan titik peluhnya dan para sahabat tercinta tak kan dapat kita kecapi nikmat Islam yang kita anuti pada hari ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment